Tuesday, September 23, 2014

RUSH Niki Lauda & James Hunt


RUSH Niki Lauda & James Hunt

Walaupun Formula One (F1) adalah kemuncak acara motorsport, ianya bukanlah minat saya. Saya hanya sekali shaja berada di Trek F1 Litar Sepang semasa berlangsungnya F1 Malaysia. Itupun kerana saya bertugas di acara sokongan F1. Malah dalam siaran langsung di tv pun tidak pernah saya menontonnya sehingga selesai.

Tetapi saya “tertengok” film RUSH di Astro beberapa hari lepas dan terpaku sehingga selesai. Terasa juga kehangatan di pipi walaupun tiada butiran air mata yang mengalir.

RUSH (2013) adalah film sport drama biographical berkaitan dua orang pelumba F1 iaitu Englishman, James Hunt (Chris Hemsworth) dan Austrian, Niki Lauda (Daniel Bruhl)

RUSH memfokuskan F1 Musim 1976 di mana Lauda mendesak komiti F1 membatalkan German GP susulan hujan lebat. Bagaimanapun desakan Lauda untuk membatalkan perlumbaan di Trek Nurburgring yang sememangnya terkenal dengan bahayanya diabaikan setelah Hunt menyakinkan komiti bahawa pembatalan tersebut lebih menguntungkan Lauda yang telah mendahului kutipan mata.

Dalam perlumbaan tersebut, lengan ayun kereta Ferrari Lauda patah dan menyebabkannya terbabas melanggar tembok lalu terbakar. Kepala, muka serta paru-paru Lauda mengalami kebakaran darjah ketiga yang menyebabkannya terlantar di hospital selama enam minggu.

Tanpa menghiraukan nasihat doktor, Lauda kembali berlumba dalam GP Itali dan berjaya menduduki tempat keempat dan mendahului pelumba lain dalam kutipan mata keseluruhan manakala Hunt gagal menghabiskan perlumbaan.

Kemuncak musim 1976 ialah perlumbaan terakhir di GP Jepun yang berlangsung dalam hujan lebat. Lauda menarik diri dalam pusingan kedua dengan alasan cuaca yang membahayakan pemanduan. Hunt menamatkan perlumbaan tempat ketiga yang membolehkannya bergelar juara musim 1976 dengan kelebihan satu mata sahaja di hadapan Lauda.

Walaupun bermusuhan di dalam trek, Hunt tetap menghormati Lauda. Malah Hunt (selepas satu sidang media) membelasah seorang wartawan yang dengan sengaja menyoal kesetiaan isteri Lauda, Marlene Knaus (Alexandra Maria Lara) dengan kecacatan muka Lauda.

Selain dari jalan cerita yang digarap dengan penuh emosi, film ini dirakam dari sudut-sudut yang menarik (dari dalam dan sisi kereta) penuh mendebarkan dan menaikkan adrenalin penonton terutama semasa perlumbaan terakhir di GP Jepun.

Pastinya saya akan menonton lagi jika berpeluang. Bagi saya Lauda dan Hunt ibarat perkisahan Hang Tuah dan Hang Jebat di mana Lauda adalah Tuah dan Hunt adalah Jebat.


http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/











No comments: