Thursday, January 13, 2011

Budak Kedai Buku dan Budak Panggung Wayang


Budak Kedai Buku dan Budak Panggung Wayang

Sedikit terkilan sewaktu membeli buku The sky is crazy – Yvonne Lee di MPH Ipoh semalam.

Mungkin juga kesilapan saya sendiri tidak mencatatkan nama buku ini, saya tidak dapat mengingati tajuk semasa berada di dalam kedai. Apa yang saya ingat hanyalah Stewardess, Sky dan Yvonne Lee (dengan ejaan nama Yvonne yang tidak pasti).

Tiga keywords ini tidak dapat membantu saya dan juga beberapa orang pekerja kaunter di MPH untuk mencari buku ini dalam sistem PC mereka. Saya kemudiannya memberi beberapa klu berkaitan dengan buku ini berpandukan ulasan yang saya baca.

Berkerut dahi kesemua pekerja kaunter ini mendengar klu-klu saya. Maaf cakap, saya pasti tiada seorang pun dari mereka ini yang membaca ataupun sekurang-kurangnya mengetahui tentang buku ini.

Oh! Mereka bukannya Kathleen Kelly (Meg Ryan), pemilik kedai buku The Shop Around The Corner dalam filem You've Got Mail yang menghafal semua tajuk dan mengetahui isi kandungan buku-buku yang ada dalam kedainya. Sudah tentu juga saya bukannya Joe Fox (Tom Hanks) yang mampu mengujakan gadis-gadis kaunter ini.



Saya teringat kisah pemilik kedai buku-buku terpakai pelbagai bahasa di Pantai Cenang, Langkawi iaitu Mashhor Salleh yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bulan lepas. Saya belum berkesempatan berjumpa ataupun mengunjungi kedainya iaitu Your Language Books Corner yang mempunyai pelbagai buku bacaan bahasa Inggeris, Jerman, Sepanyol, Belanda, Rusia, Arab, Perancis, Itali, Finland, Jepun dan Korea.

Malah saya dimaklumkan Mashhor boleh mengulas isi kandungan hampir kesemua buku-buku ditulis dengan pelbagai bahasa yang ada di dalam kedainya itu.

Posting terawal saya di blog ini ialah mengenai cita-cita saya. Kecil saja cita-cita saya ketika itu bila ditanya oleh Cikgu Dollah (Abdullah) semasa Darjah 1 di Sekolah Rendah Kebangsaan Long Jaafar, Kamunting.

Saya dengan bangganya bangun dan memberitahu bahawa saya bercita-cita untuk menjadi “budak kedai buku” dan “budak panggung wayang”.

Mengapa? Tanya Cikgu Dollah setelah meredakan ketawa dan gelakan besar rakan sekelas lain yang masing-masing bercita-cita menjadi Doktor, Engineer atau sekurang-kurangnya Cikgu, Askar dan Jururawat.

(Semasa itu belum ada sesiapa yang bercita-cita hendak menjadi angkasawan ataupun Artis Akademik Fantasia!)

Saya boleh baca kesemua buku dan komik yang ada di dalam kedai buku tersebut dengan percuma. Begitu juga saya boleh menonton semua wayang dengan percuma tidak kira cerita apa dan bahasa apa. Malah boleh mengulanginya beberapa kali!

Dengan itu juga, datanglah sesiapapun ke kedai buku yang saya bekerja atau ke panggung wayang yang saya bekerja, saya boleh bercerita mengenai buku yang bakal di beli ataupun wayang yang bakal ditonton.

Kisah penuh di sini.

Tidak disangka-sangka pada beberapa tahun yang lepas saya berjumpa dengan Cikgu Dollah (kini menetap di Batu 4, Kamunting), dia masih ingat akan cita-cita saya itu.

Mungkin pencen dari kerja gomen sekarang ini, saya akan jadi budak orang tua kedai buku dan juga budak orang tua panggung wayang. Tidak berbayar gajipun tidak mengapa, asalkan boleh membaca dan menonton dengan percuma. Sekurang-kurangnya ketika itu insya-Allah banyak buku keagamaan yang boleh saya baca. Sekurang-kurangnya tercapai juga cita-cita saya itu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: