Sunday, March 07, 2010

Bagaikan menonton siaran ulangan


Bagaikan menonton siaran ulangan

Minggu lepas semasa bertemu kenalan bersama isterinya di Changlung, aku tergaman. Lidah terkelu dengan mata tidak mampu berkelip.

Benarkan apa yang aku lihat. Isterinya saling tak tumpah dengan seseorang yang pernah bersama-sama aku seketika semasa menuntut (tetapi aku tak sempat grad) di UM pertengahan 80an dahulu. Kami satu program malah berkongsi kolej kediaman yang sama iaitu Kolej Kelima, UUM.

Dia seorang kerabat DiRaja. Pembawaannya biasa-biasa saja. Tiada keegoaan. Malah dia juga tiada kenderaan untuk berulang-alik ke fakulti.

Ketika itu aku sudah mempunyai motosikal Yamaha RXS yang dibeli dengan duit gaji sebagai Pam Attendant di Caltex Kamunting semasa menunggu keputusan SPM. Ada juga terdetik di hati untuk mempelawanya membonceng tetapi hanya terpendam di hati melihatkan senior yang berkereta lebih pantas menawarkan diri.

Sebenarnya hampir 2 tahun pengajianku, tidak pernah sekalipun terbit sebarang kata menegurnya. Maklumlah ketika itu aku masih tebal dengan sifat-sifat seorang jejaka pemalu.

Rupa-rupanya isteri kepada kenalan aku itu ialah kakak kepada gadis yang pernah aku kenali dahulu.

Dua hari lepas semasa menunggu di ruang berlepas di Penang Air Port (dalam penerbangan ke KL seterusnya ke Miri), seorang perempuan menegur aku.

Dengan penuh keyakinan beliau bertanya; "Ini Zaidi-kan?"

Zaidi mana pula ni! Aku hanya tersenyum dan mengelengkan kepala.

"Kita sama-sama ambil Master di UKM dahulu!", ujarnya lagi.

Terperanjat aku. Siapa pula gerangannya ini.

Setelah beliau mengenalkan diri, baru aku perasan beliau adalah gadis yang sering "disebut-sebut" bukan sahaja sesama pelajar tetapi juga di kalangan pensyarah.

Aku tidak mengecamnya kerana beliau agak gempal tidak lagi seramping dahulu.

Ingin juga aku menempelaknya sebab boleh terlupakan nama aku sedangkan boyfriendnya semasa bersama-sama di UKM dahulu kebetulan memiliki nama yang sama dengan aku iaitu Lukman!

Kami berbual panjang sedangkan semasa dahulu seingat aku tidak pernah sekalipun aku menegurnya. Maklumlah ketika itu aku masih mempunyai sifat-sifat jejaka pemalu walaupun sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Sedangkan ketika itu beliau (dan juga boyfriendnya) baru berusia awal 20an dan baru saja tamat pengajian program kejuruteraan di USM.

Bagaikan menonton siaran ulangan. Adakah ianya secara kebetulan.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com




No comments: