Saturday, January 16, 2010

Pulut Tanak Berlauk




Pulut Tanak Berlauk

Tiba-tiba hari Isnin lepas aku teringin benar nak menjamah Pulut Tanak. Pulut yang dikukus panas dan dijamah dengan nyior parut. Kena pula dengan Kopi-O Pekat panas. Luar rumah pula hujan mula berderai. Atap zink mula berlagu dengan diiringi rembesan bunyi "bass" dari atap rumbia. Sambil mencicip air kopi melancarkan semua lekitan pulut di kerongkong, mata sudah terpandang bantal yang terselempuk di hujung tikar mengkuang selirat beraja di mata, bersultan di hati.

"La... hang tak tahu ka! Pulut cuma ada hari Sabtu dan Ahad", kata Mak Tom bila aku bergegas ke gerainya dengan keinginan meluap untuk menjamah Pulut Tanak. Terdiam aku, terhenti lamunan aku.

Aku kembali ke Sintuk dengan tangguhan keinginan. Ada juga hajat hendak diganti dengan Pulut Ayam Mak Teh Padang Besar ataupun Pulut Pelam Bersantan Siam, tapi keinginan Pulut Tanak ini membuak mengatasi segalanya.

Pagi tadi (Sabtu 16 jan 2010), terus ku terpa Gerai Nasi Lemak Mat Tom bersebelahan Petronas Kamunting itu.

Dari jauh pulut sudah berkilau kuningnya memgamit! Malangnya tiada nyior parut! Baru aku sedar menu Gerai Mak Tom adalah Pulut Kuning dengan pelbagai lauk.

Ada Gulai Daging bergaul Kacang Panjang dan Ubi Kentang. Ada pelbagai menu gulai, rendang dan gorengan ayam. Ditambah dengan pelbagai menu ikan, sotong dan udang.

Anak jantan aku seorang itu sudah mula melerekkan matanya ke Gulai Daging. Aku mencadangkan kali ini santapan pulut untuk sarapan dengan menu asli tok neneknya dahulu iaitu dengan ikan masin dan ikan goreng.

Untuk pelbagai variasi kami memilih Pulut dengan Ikan Kendera Masin, Pulut dengan Ikan Duri Masin dan Pulut dengan Ikan Temenung Borek.

Manakala pilihan aku ialah gabungan pelbagai ikan masin dan ikan goreng itu serta ditambah Sambal Tumis Ikan Bilis.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Tiba-tiba aku teringat aruah Tok Wan dan Tok Nek aku semas mereka berbendang dulu. Rehat pagi sekitar jam 10 di tengah bendang, di tepi batas, bersila atas mengkuang rabik seribu dengan seperiuk besar Pulut Tanak dan seteko besar Kopi-O pekat. Bersebelahannya pula mangkuk-mangkuk sia yang terisi di dalamnya nyior parut, kendera masin dan tambahan satu-dua lagi lauk ataupun kuih-muih.

No comments: