Sunday, July 12, 2009

Terima kasih Najib tapi mengapa 80 kali?



Terima kasih Najib tapi mengapa 80 kali?

Terima kasih Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri, yang mengumumkan 11 hadiah rakyat sempena ke 100 hari beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Mulanya nak melompat juga apabila mendengar hadiah pertamanya itu iaitu rebet tol 20%. PLUS bagi 5 % rebet untuk penggunaan RM 200 sebulan pun, aku sudah terasa sedikit nikmatnya, inikan pula 20%.

Tetapi mengapa perlu 80 kali atau lebih? Adakah kerana angka 8 itu feng-sui bagus? Ataupun ianya seperti memotivasi keldai dengan makanan yang digantung di hujung galah hadapannya. Apabila keldai ini hendak menjamah makanan, keldai ini kena bergerak ke hadapan. Sehinggalah keldai ini bergerak sejauh-jauhnya (atau sehingga selesai kerja), barulah tuannya membuka ikatan galah dan memberikan keldai tersebut makan.

Secara logiknya seseorang itu hanya membayar tol hanya sekali pada waktu ke pejabat dan sekali lagi pada waktu pulang dari pejabat. Kalau dia bekerja 5 hari seminggu, baru 40 kali dia bayar tol sebulan. Kalaulah dia bekerja 7 hari seminggupun, baru 56 kali dia bayar tol sebulan.

Jadi macamana nak capai 80 kali atau lebih sebulan!

Harap-harap penasihat kepada PM 1 Malaysia kita yang mencadangkan ”break-event” sebanyak 80 kali ini telah membuat kajian yang betul dan tepat. Harap janganlah penasihat ini pula yang mendapat 20% komisen agar tiada sebarang rebet dibayar kepada pengguna tol! Ini sudah penasihat 20%.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/



Mingguan Malaysia, Ahad 12-Julai-2009

11 ‘hadiah rakyat’

"HARI ini, saya dedikasikan khusus tentang kesejahteraan dan kebajikan tuan-tuan, puan-puan serta anak-anak sekalian"

"Saya akan terus berusaha sedaya mungkin dan menyingsing kudrat untuk mencari penyelesaian-penyelesaian seraya membuat keputusan-keputusan demi kepentingan tuan-tuan dan puan-puan Dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan saya tidak membuat sesuatu secara berwenang-wenang jauh sekali secara semberono"

"Langkah-langkah yang saya umumkan dalam tempoh 100 hari ini hanyalah langkah-langkah pemula perjalanan kita ke arah masa depan yang lebih baik, makmur dan terjamin"

"Saya turun padang melihat rintihan rakyat... juga merasai gundah gulana mereka dan meresapi denyutan nadi rakyat yang dipimpin"

"Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak muda sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan"

- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengumuman Najib sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri:

1. Diskaun 20% kepada pengguna kad prabayar Touch ‘n Go dan SmartTag yang menggunakan tol lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009.

2. Penyewa Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan dibenarkan membeli rumah yang disewa.

3. Potongan diskaun 50% kepada peniaga kecil di Wilayah Persekutuan memohon dan membaharui lesen perniagaan.

4. Tambahan RM150 juta bagi dana TEKUN dan RM15 juta untuk program pembangunan usahawan muda kaum India.

5. Tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu dalam masa tiga bulan akan datang.

6. Komited untuk mengurangkan kadar jenayah terutamanya ragut dan kecurian kenderaan.

7. Mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat dilaksanakan dengan segera.

8. Menyegerakan usaha menyelesaikan masalah kewarganegaraan rakyat.

9. Usaha menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak ditingkatkan.

10. Mengurangkan kadar bayaran permohonan lesen motosikal kepada RM211 berkuat kuasa pada 1 September depan.

11. Menubuhkan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz sehingga 10 bilion unit dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

No comments: