Wednesday, July 15, 2009

Hikayat Durian

Durian bapa aku di Ceruk Pelanduk, Bt. 14, Batu Kurau.

Buah Kelas A1, senang buka! Paling senang pakai gunting.

Gambar di atas dari posting asal di sini.

Hikayat Durian

Hikayat Durian bermula dari sekali-sekala angin menderu. Derunya menghilir dengan bau bunga durian yang mula berkembang. Tandanya genap 100 hari durian lagi akan masak dan mula meluruh. Itupun kalau angin tidak menolak awan, airnya boleh meluruhkan bunga. Kalau tiada langsung awan melangsirkan matahari pula, pancaran pula boleh mengecutkan bunga.

Buahnya pula bermula dengan membuang buruk. Diikuti pula dengan meliat dan melemak seterus mengegak. Masa inilah kalau nak menebas pangkal pokol atau meracun denai untuk dilalu.

Bila mula mengegak bolehlah dibuat kenduri bubur durian. Buah yang mangka (tak berapa masak) didahulukan. Buah yang menguning pula boleh dimakan dengan pulut. Kalau jemu dengan pulut boleh diganti dengan Roti Paun kalau belah Penang panggil Roti Benggali.

Isi baru boleh diulas dan jamah dengan Nasi Puteh. Renjis saja air garam kalau tidakpun patah sebiji dua Cili Padi. Makan begini saja boleh habis suku periuk. Kalau ada Kedera Masin mahu setengah periuk. Kalau makan berdua boleh terus basuh periuk.

Bila sudah galak meluruh bolehlah dipanggil anak cucu balik ke dusun.

Kalau luruhnya sudah di penghujung bolehlah dibuat tempoyak isi yang culas.

Cerita Pak Lang Manap aku, kalau ada satu hektar boleh tanam 100 pokok durian cantum. Dengan 100 pokok ini boleh dapat hasil 1 tan setahun seawal-awalnya selepas jangka masa 5 tahun. Paling lambatpun 7 tahun.

Mula-mula kena pilih tanah yang betul. Bukan semua tanah, lereng atau atas bukit boleh ditanam dengan durian. Tanah yang sesuai untuk tanaman durian ialah jenis lom hingga lom berpasir. Tanah pula mesti subur, dalam dan gembur. Kawasan pula mesti panas dan lembap (27 – 32 C) untuk pertumbuhan yang vegetatif.

Pokok durian pula disyorkan ditanam dengan menggunakan empat sistem segitiga sama yang dapat memberikan bilangan pokok yang lebih berbanding system segiempat sama.

Batang pokok pula kena dipangkas untuk menjulang batang utama yang tegak ke atas. Dahan-dahan awal yang berlebihan perlu dibuang kerana ianya bersaing dengan batang utama dan akan memberi masalah kelak. Pemangkasan juga penting bagi mengelak dari jangkitan penyakit. Racun kulat pula digunakan untuk merawat bekas potongan dan bahagian kulit serta batang yang luka.

Bagusnya kalau sistem pengairan titis, sistem pengairan mikro dan sistem pengairan renjis. Kalau tak ada upahlah menjirus pagi dan petang.

Anak pokok dari biji boleh meninggi sampai 100 kaki dengan banir 10 kaki. Kalau tanam terlalu rapat pokok matang mempunyai kanopi yang berbentuk bujur. Poko yang baik kanopi berbentuk bujur.

Bunga durian ini berjambak dengan 30 - 60 kuntum bunga dalam satu jambak. Proses pendebungaan bagi durian ialah pendebungaan berkacuk. Ianya sesuai didebungakan pada waktu malam. Antara agen-agen pendebungaan bunga durian ialah kelawar, lebah (Apis dorsata), kelulut (Trigona sp) dan beberapa jenis semut. Khabarnya Mardi di Bukit Tangga sebelah Sintok mendebungakan waktu siang dengan agennya lalat!

Buah durian lazimnya berbentuk bulat dan berbagai saiz. Berat buah berbeza mengikut klon. Buah durian mempunyai 4 – 6 pangsa dan dalam setiap pangsa mengandungi beberapa ulas isi. Rasa isinya lemak manis dan ada juga yang berasa pahit bergantung pada klon.

Macamana nak pilih buah yang elok? Ada yag mahir tu sebenarnya sudah mengecam buah dengan melihat duri. Duri yang gemuk pendek biasanya ulasnya besar dan dur panjang meruncing ulasnya panjang. Kalau yang kaki mengoncang itu untuk mendengar bunyi geseran ulas-ulas isi dengan bahagian pangsa. Kalau padat mungkin buah mangka atau isinya lembik melekat pada pangsa. Buah yang ringan sebenarnya berisi elok kalau dibandingkan dengan buah yang berat.

Pilihlah buah yang masih ada bau rumput atau tanah. Bukan pilih kerana bau! Bau rumput dan tanah ini menandakan ianya masih segar baru jatuh dari pokok. Jangan tertipu dengan tangkai buah yang bergetah. Tangkai yang sama kadang-kala dicantas oleh penjual untuk mengalirkan getahnya. Pilih tangkai yang kembang sikit hujungnya macam cendawan.

Durian pula kalau yang elok bila jatuh akan terbuka merekah sikit hujungnya.

Hendak dapat 1 tan hasil setahun inipun banyak tertibnya. Durian ini bukan saja makan banyak boleh beri penyakit Kencing Manis dan Darah Tinggi, pokoknya saja senang diserang penyakit. Kalau tan kena Penyakit Bengkak Cerana Durian (Phytophthora palmivora) atau kanker, dia boleh kena Hawar Daun Rhizoctania. Baik kena Hawar boleh kena Bintik Daun atau Cendawan Angin. Sihat semua itu boleh kena pula Anthraknos.

Hendak tak hendak kenalah bubuh racun. Boleh jugalah guna kaedah pangkasan. Baja juga tak boleh kedekut. Pemurah sangat pula habis naik pokok rampai lain keliling.

Bila pokok sihat, ramai pula ulat berkunjung. Mula-mula datang ulat dan kumbang pengorek batang. Habis batang dan kulit pokok disagatnya. Kadang-kadang ulat ini menjemput pula anai-anai, teritip dan koya.

Mula mula membuah datang pula ulat pengorek buah. Bila sudah masak elok datang pula tupai. Tapi jangan tekejut kalau durian sebelah yang ditepuk tupai, yang itulah dicari orang. Sebelah lagi yang tidak ditebuk dijamin kelas A!

Kalau luruh lambat kutip habis kat sang sondol. Inipun jenuh berebut dengan ”sang sondol kaki dua’!

Bila lepas 100 hari membunga, buah yang putik pula kena dijarangkan. Bukan kena makan pil perancang keluarga tapi kena dicantas buang buah yang mula menjangkau seruas jari panjang. Cantas pula kena sabit yang tajam dihujung galah. Sekali tarik sabit mesti putus tangkal putik durian. Kalau tak tajam dan tak putus tangkal boleh sakit pokok. Bila pokok sakit buah pula akan berpenyakit.

Sebab apa kena dijarangkan. Kalau tak jarang buah tak sekata besarnya. Ada besar ada yang kemetot. Kalau tak jarang, buah kurang berzat sebab nak kena kongsi banyak buah. Kalau tak jarang, boleh patah dahan sebelum durian masak betul.

Berapa pula nak keluar kos sehektar dengan 100 pokok ini?

Cukup RM 10 ribu untuk kos mula iaitu bersih hutan, sedia tanah, membaris dan menggali anak lubang serta repair mana patut untuk salir air.

Lepas kos mula ada kos tahunan yang tak sampai RM 2 ribu setahun untuk perbelanjaan anak-anak pokok, baja, racun kawalan dan peralatan lain.

Jangan lupa kira kos tenaga kerja. Perlulah dekat RM 3 ribu setahun. Kos ini meningkat sekali ganda bila sampai tahun buah mula luruh. Ingat mudahkah nak mengandar buah ke jalan besar. Kalau pokok lereng atau atas bukit lagi parah.

Pak Lang Manap pernah bisik-bisik kat aku untuk sehektar selama jangkaan 25 tahun, dia boleh dapat RM 300 ribu iaitu RM 10 setahun. Dengan syaratnya buah kena dijual dengan harga RM 2.00 sekilo. Kalau jual pakai kapuh lagi untung. Itupun setelah ditolak komisyen peraih yang pandai ”berkapuh-kapuh” ini.

Bila Pak Lang sebut pasai kapuh-mengapuh ini teringat kisah aku menjual durian pertengahan tahun 80an di Jalan Stesen Taiping. Dua bulan mulai Oktober hingga November di situ kemudian kami pindah ke Chai Leng Park, Penang sebulan lagi. Aku bukan jual durian bapa dari Batu Kurau tapi bekerja dengan Hj. Din (aruah) dengan buah durian dari Bukit Gantang.

Pagi kami pergi ambik buah dengan salah satunya milik bekas wakil rakyat di Trong. Hj. Din ini ”mengajar” aku dan beberapa budak penjual lain dengan pelbagai tipu-muslihat. Mula-mula jumpa saja pemilik kebun, kami tepuk dahi merunggut semalam buah tak boleh jual, buah dah melambak dan harga dah turun. Kemudian Hj, Din mula kapuh buah, langsung tak ada buah sebiji. Semuanya kapuh 2 biji jadi 1 biji, 3 biji jadi 1 biji hinggakan ada 10 biji sebesar penumbuk jadi 1 biji.! Ingat-ingatkan aku 1 biji kapuh paling mahal awal musim ialah RM 3.00 sebiji. Harganya makin lama makin merundum sehingga seringgit lebih saja. Sedangkan buah yang paling kecikpun sebesar penumbuk boleh dijual dengan RM 1.00 sebiji.

Aku tanya Hj. Din, bolehkah buat macam tu. Hj. Din yang sudah 3, 4 kali pergi Mekah ini jawab, kena buat macam tu sebab berniaga durian untuk makan setahun. Jadi keuntungannya mesti boleh makan sampai setahun. Oh! Macam itupun rupanya menega durian.

Tapi macamana pula yang berkebun durian? Tak faham aku menega macam ni!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


No comments: