Monday, April 20, 2009

Penyanyi Rock paling mudah masuk syurga

Penyanyi Rock paling mudah masuk syurga

Kata Nabil, dia peluk Irma tak terjejas ekonomi negara.

Kata Awie pula (TV3 semalam dalam ruangan Mentor Musim ke 3, Tunjuk Ajarku Sifu), penyanyi rock lah yang paling mudah masuk syurga.

Alahai artis kita! Ada sesiapa nak komen Opah Eng yang mati dalam usaha menyelamatkan orang gaji Indonesianya yang mungkin beragama Islam itu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/




Warga emas mati selamatkan pembantu rumah daripada diperkosa
Utusan Malaysia, 14-April-2009

TELUK INTAN 13 April - Tindakan nekad seorang nenek berusia 81 tahun bergelut dengan tiga penyamun berjaya menyelamatkan pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia, daripada diperkosa penjenayah terbabit, awal pagi ini.

Bagaimanapun, Loh Koon Eng meninggal dunia dipercayai akibat diserang sakit jantung sebaik ketiga-tiga suspek terbabit melarikan diri dari rumahnya di Jalan Laksamana, kira-kira pukul 3 pagi.

Warga emas berkenaan dipercayai diserang sakit jantung kerana terlalu letih bergelut dengan suspek-suspek itu bagi memastikan pembantu rumahnya, Marina Andrajani, 23, tidak diapa-apakan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, sebelum kejadian, Koon Eng dan Marina tidur di rumah tersebut yang turut dijadikan kilang memproses kopi.

"Tiba-tiba tiga lelaki bertopeng yang salah seorang bersenjatakan sebilah parang telah memecah masuk rumah itu dan cuba memperkosa Marina.

"Koon Eng yang terjaga dari tidurnya kemudian bergelut dan memukul ketiga-tiga penjenayah terbabit bagi menyelamatkan Marina,'' katanya di sini hari ini.

Kok Liang berkata, tindakan warga emas itu telah menyebabkan penjenayah berkenaan membatalkan hasrat untuk merogol Marina dan hanya mengikat kedua-dua mangsa.

"Menyedari keadaan mereka sudah tidak selamat, penjenayah berkenaan hanya menggeledah dan melarikan barangan berharga di rumah tersebut.

"Hospital Teluk Intan mengesahkan kematian Koon Eng adalah disebabkan oleh sakit jantung," katanya sambil memberitahu pihaknya masih menyiasat jumlah kerugian dialami oleh mangsa.

Menurut Kok Liang, polis kini sedang memburu ketiga-tiga suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Marina yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, dia tidak menyangka Koon Eng berani melawan penjenayah berkenaan semata-mata untuk menyelamatkannya daripada diperkosa.

"Ketiga-tiga penyamun itu bertindak agresif dan cuba memperkosa saya. Makcik (Koon Eng) kemudiannya meronta-ronta dan memukul penjenayah sambil menjerit supaya jangan sesekali mencabul kehormatan saya.

"Saya ingat apabila semuanya selesai kami sudah selamat, tetapi makcik rupa-rupanya sudah meninggal dunia ketika tangan kami masih terikat," katanya.

No comments: