Monday, February 02, 2009

Cadangan menghadapi kemelut VSS


Forum Utusan Malaysia, 2-Februari-2009

Wujudkan sistem kupon subsidi untuk pekerja dibuang

SAYA, selaku setiausaha kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan NGO mewakili rakan-rakan warga industri, dikenali sebagai WARGAKILANG.COM terasa amat sayu dan tersentuh mendengar kisah rakan-rakan yang diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi.

Baru-baru ini, kami dengan rakan-rakan dari beberapa buah kilang di Kulim Hitech, Kawasan Industri Perai dan Kawasan Industri Bayan Lepas mengadakan pertemuan ‘lampas otak’ bagi mencari jalan membantu meringankan bebanan rakan-rakan warga kilang kami yang dibuang kerja.

Berikut adalah beberapa cadangan yang kami rasa wajar diketengahkan untuk perhatian pihak-pihak berkenaan:

* Memandangkan nasib rakan-rakan yang dibuang kerja sukar untuk memperoleh pekerjaan baru dalam tempoh jangkaan 6 bulan dari sekarang.

Kami mencadangkan: Kerajaan mewujudkan sistem kupon subsidi seperti yang dilakukan oleh negara luar bagi menampung hidup pekerja yang dibuang itu membeli barangan paling asas seperti beras, minyak, gas memasak dan beberapa barangan lain. Ia adalah bersifat sementara untuk jangka masa sekurang-kurangnya enam bulan daripada tarikh mereka diberhentikan.

* Rata-rata pekerja kilang khususnya di peringkat juruteknik ke atas, mempunyai kelulusan seperti sijil, diploma, ijazah serta memiliki bertahun-tahun pengalaman dalam bidang teknologi tinggi, yang kepakaran mereka mampu diguna pakai untuk agenda yang lebih besar.

Kami mencadangkan: Melalui suntikan dana RM7 bilion yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, sebahagiannya dapat diguna pakai oleh Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Pengajian Tinggi atau pun mana-mana kementerian berkaitan untuk menyerapkan golongan teknikal pekerja kilang ini sebagai tenaga pengajar atau pun pembantu teknikal.

Sebagai contoh kami melihat potensi di Pusat Giat Mara, ADTEC, ILP, IKBN, Politeknik dan Institut Latihan/Teknikal Negeri/Pusat.

* Antara faktor pemberhentian pekerja kilang tempatan ialah disebabkan kebanjiran pekerja asing.

Kami mencadangkan: Kerajaan melalui unit pemantau memantau ke peringkat daerah dan menyenarai pendek kilang-kilang yang masih menggaji pekerja asing sedangkan ramai bekas pekerja kilang yang menganggur.

Adalah tidak masuk akal dan berlawanan dengan pemikiran yang waras apabila ada bekas pekerja kilang merayau-rayau mencari kerja dan dalam masa yang sama terdapat berpuluh-puluh buah rumah pekerja asing di kawasan berhampiran.

Banyak lagi yang kami bincangkan tetapi eloklah jika pihak-pihak yang berkenaan memberi keutamaan kepada tiga perkara di atas.

MOHD MONIER MAT DIN
Setiausaha WARGAKILANG.COM

No comments: