Wednesday, September 03, 2008

Apa erti perpaduan?


Acun, Hakim, Udin dan Abalan, Geng Basikal Taman Kamunting Jaya (bukan Geng Bas Sekolah)


Apa erti perpaduan?

Apa erti kemerdekaan? Apa erti perpaduan?

Aku di-baligh-kan di Jalan Wat Siam. Rasanya aku “mimpi basah” yang pertama di rumah sewa satu bilik di Jalan Wat Siam ini. Kisah Jalan Wat Siam ini pernah aku siratkan dalam blog ini.

Di sini. Di Jalan Wat Siam ini aku belajar mengenai perpaduan. Pengertian perpaduan hanya mampu diperjelaskan melalui pratikal. Tidak di dalam kelas. Jauh sekali di dada akhbar atau di “seluar dalam” bahan bercetak yang lain.

Belakang rumah sewa satu bilik yang aku tinggal ini terletaknya rumah Pakcik Wong. Kerjanya bawa lori. Petahnya mengalahkan orang Melayu. Kata bapa, Pakcik Wong ini pernah belajar silat Melayu semasa kecil di Batu Kurau. Biasa berkubang dan memanjat pokok manggis sesama bapa.

Anaknya yang sulong Wai Seng. Nombor dua Wai Tak beza umur tua setahun dari aku. Dua lagi adik mereka ialah Neneng dan Mei Ling.

Entah macamana rumah aku ada tv hitam puteh yang bapa beli mungkin ber-hand-hand umurnya. Zaman 70an itu kami sama-sama ber-ultra-man pada waktu petang. Mak biasanya mengoreng Cucur Kodok kalau ada pisang yang diperam dari kampong. Ataupun Cucur Udang dicecah Cili Kering yang dilenyek. Tidakpun Lempeng Pisang.

Berhimpitlah kami dengan ditemani beberapa anak-anak jiran yang lain.

Kalau pagi Sabtu dan Ahad pula, aku akan bertandang ke rumah Pakcik Wong. Rumahnya juga hanya mempunyai sebilik dan berpangkin besar di dalamnya. Di atas pangkin ini aku bergomol dengan Wai Seng dan Wai Tak. Kadang-kadang Neneng juga bergelut sekali. Manakala Mei Ling yang hanya berseluar dalam ketika tu hanya memerhati sambil mengigit anak patungnya.

Kalau cuaca petang elok, kami ke semak berdekatan mencari anak labah-labah. Kemudian kembali ke rumah untuk menyaksikan Olimpik Spider kami.

Kalau tidak ke rumah Pakcik Wong, aku ke rumah Uncle Raja. Ramesh anaknya itu sebaya malah sekelas dengan aku. Bersama-sama Ravi adiknya ada sahaja yang menjadi mainan kami.

Aku mendalami lagi ilmu perpaduan aku dengan berkawan dengan budak-budak Siam yang umurnya lebih tua dari aku. Sebelumnya aku sering dimomokkan dengan kejahatan “Siam Perut Hijau”, tapi semuanya itu tidak dipedulikan aku lebih-lebih lagi aku belajar banyak “benda baru” dari mereka ini.

Dua minggu lepas aku jumpa isteri Pakcik Wong di hadapan rumah mak aku. Dia sedang buang sampah. Mak aku menegur dan menyuruhnya meneka siapa aku. Dia tidak dapat mengecam aku tidak seperti Pakcik Wong yang akan menjerit nama aku kalau nampak sahaja kelibat aku. Macam dulu-dulu, Pakcik Wong hanya berseluar katok dan berlenggeng menampakkan buncitnya sambil mengayuh basikal chopper lama.

Wai Seng kini berkhidmat di Pejabat Kesihatan di Kulim. Dia memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang perempuan Melayu. Hubungan dia dengan kedua-dua orang tuanya seerat seperti sebelum dia memeluk Islam. Malah anak Wai Seng pernah duduk beberapa bulan dengan Pakcik Wong dan isterinya. Mungkin ini hikmatnya Pakcik Wong dan isterinya memahami erti perpaduan yang sebenar.

Wai Tak dan Neneng bekerja di KL. Mei Ling kembali tinggal dengan ibubapanya setelah bercerai. Aku pernah bertemu dengan Mei Ling semasa aku bekerja di Kilang Tayar Kamunting dahulu. Ketika itu Mei Ling bekerja di kilang bersebelahan. Dia menegur aku sedangkan aku langsung tidak mengecam amoi mana yang lawa ini.

Ramesh dan Ravi pula menguasahakan perniagaan transport, gas masak dan barang lusuh. Entah mengapa selama 15 tahun aku di Taiping tidak pernah aku bersua dengan mereka berdua. Bapa pernah menumpang lori mereka sekali.

Manakala “rakan-rakan perpaduan Siam aku” masih tinggal di Jalan Wat Siam.

Itulah erti perpaduan yang aku cuba semaikan kepada anak jantan seorang aku itu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: