Wednesday, May 21, 2008

Selamat Hari Guru (Bhg. 3)

Selamat Hari Guru (Bhg. 3)
Tiada lagi cita-cita

(Sebenarnya aku ingin bertemu Cikgu Moi Poi Yeen yang kini mengajar di Sekolah Menengah Convent, Taiping pada hari Jumaat, 16 Mei 2008 iaitu bersempena dengan Hari Guru tapi aku masih belum pulang ke Taiping. Manakala Isnin dan Selasa setelah kembali dari KL, banyak urusan berkaitan bank dan sebagainya. Hinggalah hari ini aku dapat meluangkan masa bertemunya!)

Cikgu Moi Poi Yeen adalah cikgu kelas aku semasa di Tingkatan 4 Sains dan 5 Sains di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh. Beliau juga Cikgu Biologi dan Cikgu Kimia aku.

Biologi dan Kimia merupakan dua pelajaran yang ”amat berat” pada aku. Hampir-hampir menjadi mata pelajaran yang dibenci. Aku hanya hidup dengan ”matematik” dan ”lukisan”. Sehinggalah juga di universiti, hanya dua mata pelajaran ini yang benar-benar ”menghidupkan” aku!

Mujurlah dengan bantuan Cikgu Moi, mata pelajaran Biologi berjaya aku ”transform-kan” kepada lukisan di mana hampir semua nota-nota biologi aku dalam bentuk lukisan. Malah aku sehingga kini boleh melukis ”cross section” struktur telinga, sistem pembiakan tumbuhan dan sebagainya. Sistem pembiakan manusia aku ”kurang” arif sikit masa itu!

Manakala Kimia, Cikgu Moi membantu aku ”transform-kan” kepada matematik di mana aku berjaya menerbitkan hampir semua persamaan kimia yang melibatkan semua unsur bahan kimia.

Sebenarnya aku pernah terserempak dengan Cikgu Moi pada suatu hari ketika aku bermain bola dengan anak jantan seorang aku itu yang berumur 3 tahun ketika itu, di Lake Garden, Taiping. Aku terkelu lidah apabila ditanya oleh Cikgu Moi mengenai kerjaya aku.

Dengan jujur aku katakan yang aku hanya seorang juruteknik di Silverstone. Dia agar terkejut dengan jawapan aku, sementelah keputusan SPM aku agak baik. Aku juga menceritakan mengenai kegagalan aku di UM dan kini (ketika itu di tahun 2001) sedang mengambil PPJJ di USM untuk mengejar kembali cita-cita aku.

Hari ini aku berjumpa Cikgu Moi semula di Sekolah Menengah Convent Taiping. Kami sama-sama mengalir air mata dan terkedu seketika.

Dia bertanyakan apa cita-cita aku sudah tercapai.

“Ya!” jawab aku.

‘Apakah cita-cita awak yang sebenar, Lukman?,” tanya Cikgu Moi.

“Selepas gagal UM sebenarnya saya sudah tiada lagi cita-cita tapi saya tukarkannya menjadi Matlamat Hidup saya.”

“Apakah pula matlamat awak dan sudah tercapaikah dia?”

”Matlamat saya ialah menjadi siswazah dan engineer sebelum 35 tahun, menjadi manager sebelum 40 dan bergelar Doktor (PhD) sebelum 45.”

”Saya berjaya menjadi siswazah dan engineer dua bulan sebelum umur saya mencapai 35 tahun. Dua tahun lebih awal dari 40 tahun menjadi seorang manager dan kini berazam untuk mencapai PhD dalam setahun dua ini.”

”Adakah matlamat awak sudah tercapai?”

”Saya sudah mencapai semua matlamat kerjaya saya sebagai engineer dan manager sebelum 40 dan kini saya memilih menjadi seorang cikgu untuk memenuhi matlamat orang lain pula.”, jawapan jujur aku kepada bekas cikgu aku.

”Selamat Hari Guru kepada awak juga, Lukman!”

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangorangbesar.blogspot.com/

Klik di sini untuk posting berkaitan dalam
klik di sini untuk posting berkaitan dalam

No comments: