Monday, March 17, 2008

Ayah yang ku benci – Bhg. 1


Siratan asal pada 25-Jun-2007,
(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)

Ayahku lahir dalam tahun 1933. Sekarang agak uzur dan tidak berkesempatan lagi ke surau sementelah surau yang berhampiran rumah yang didiaminya itu perlu menongkah tangga untuk ke ruang sholat.

Seingat-ingatku, aku mula membenci ayahku seawal umurku 10 tahun. Sebelumnya aku adalah pemuja ayahku. Ayahku adalah wira kepadaku. Apa sahaja boleh dilakukannya. Sehinggakan adakalanya aku lebih suka sekiranya ibuku "berdiam diri" kerana asmanya menyerang dan ketika itulah ayahku akan mengambilalih peranan ibuku di dapur. Ada sahaja resipi baru dengan hanya rencah-rencah yang ada di dapur. Kami (kakak dan adik perempuan aku) akan berpeluang menikmati makan tengahari atau malam dengan makanan ala kadar tetapi terlalu istimewa lengkap dengan hiasan memenuhi pinggan. Ayahku pernah bertugas di bahagian dapur askar untuk beberapa tahun

Ayahku seorang askar. Seorang askar yang berdisiplin sehinggakan ke hari ini walaupun telah lama meninggalkan seragamnya. Disiplinnya yang keterlaluan itulah yang membuatkan aku membencinya.

Seingat-ingat aku disiplinnya itu yang menentukan perjalanan hidupnya. Bermula dengan jam, semua jam di dalam rumah akan dipercepatkan selama 15 minit. Jangan sama sekali berjanji dengan ayahku. Aku masih ingat ketika kami tinggal di Kuala Lumpur pada awal 80an dan pulang ke Perak sekali setahun untuk menyambut Hari Raya dengan menaiki keretapi menggunakan waran. Walaupun ayahku tahu keretapi ke utara akan bertolak pada pukul 12 tengah malam dan waran telah ditukarkan kepada tiket-tiket perjalanan awal seminggu, dia masih tegas mahu keluar dari rumah seawal 7 malam sedangkan Rumah Pangsa Jalan Hang Tuah itu tidak seberapa jauh dari stesen keretapi. Malah ketika itu ibukota Kuala Lumpur tidaklah sesibuk seperti sekarang. Hanya kurang setengah jam kami sekeluarga telah sampai ke stesen keretapi. Jenuhlah menunggu sehingga jam 12 tengah malam. Apatah lagi keretapi ketika itu memang terkenal dengan kelewatannya. Acap kali keretapi hanya bertolak seawal jam satu atau dua pagi.

Ketika pulang ke ibukota lagi hebat kerenahnya. Jarak kampungku hampir 30 km dari stesen keretapi. Kami sekeluarga biasanya telah berada di stesen keretapi seawal jam 4 atau 5 petang sedangkan keretapi dijangka tiba jam 12 tengah malam. Mujurlah ibuku sentiasa siap dengan pelbagai makanan dari yang seberat nasi hingga ke pelbagai kudapan.

Mungkin semasa usia tujuh hingga sembilan tahun, semuanya disediakan oleh ibuku, aku mula merasakan kebencianku bertunas apabila menjangkau usia 10 tahun semasa aku bersekolah rendah darjah empat. Beg sekolah dengan jadual waktu keesokan hari mesti disiapkan sebelum jam 9.00 malam. Kerja sekolah mesti bermula selepas Magrib. Kami makan malam seawal 6.30 petang! Sekitar jam 9.00 pula sekadar teh-o dengan biskut.

Peraturan di meja makan adalah kemestian. Kerusi jangan ditarik hingga mengeluarkan bunyi. Bercakap hanya perlu. Pinggan mesti diangkat ke singki selepas makan. Kerusi perlu disorong kembali. Mungkin kerana aku lelaki, aku dikecualikan membasuh pinggan tetapi aku ditugaskan mengelap meja dan mengutip sisa makanan yang tumpah.

TV hanya dibenarkan selepas berita iaitu jam 8.30 malam dengan syarat semua kerja sekolah telah siap dan mesti ditutup pada pukul 10.00 malam. Sesiapapun tidak dibenarkan menukar siaran lain ketika berita dan waktu azan diperdengarkan.

Kami diajar memaklumkan "kami hendak pergi sekolah sekarang" apabila hendak melangkau keluar pintu rumah. Aku masih ingat hanya menyebutnya seperlahan yang mungkin kerana anak jiran sering mengejek-ejek ungkapan itu. Begitu juga sebaik sahaja sampai di rumah perlu memberi salam dan memaklumkan "kami dah balik!".

Stokin perlu dimasukkan ke dalam kasut. Kasut perlu dihentak ke lantai dan pastikan semua pasir atau tanah tiada pada tapak kasut. Kasut -kasut perlu disusun mengikut susunan nama yang telah ditanda dengan "Art Line Maker" di rak kasut kayu yang diperbuat sendiri oleh ayahku. Sememangnya ayahku amat suka pada "Art Line Maker" ini!. Sebut sahaja peralatan sekolah ataupun harian, semuanya bertanda lengkap dengan nama-nama kami tiga beradik. Kasut, stokin, baju dan seluar sekolah malah singlet, semuanya ada tanda nama-nama masing-masing. Tulisannya agak besar, sebagai contoh di kolar baju sehinggakan semua pelajar lain di sekolah tahu namaku kerana tulisan di kolar baju ini mudah dibaca oleh mereka.

Caption photo;
Gambar ayah terbaru (Mei-2007)

No comments: